RSS

Isnin, 22 Disember 2008

APAKAH MEMBACA NOVEL MELALAIKAN?

Teks di bawah adalah emel aku kepada alaf21, telah disiarkan pada bulan September 2008. Telah memenangi sebuah Novel. Tatapilah dan hayatilah...

Saya minat membaca novel semenjak di bangku sekolah lagi. Novel-novel yang saya baca saya pinjam dari perpustakaan ataupun daripada kawan-kawan. Pada masa itu saya tidak minat membeli novel, kerana pada pendapat saya membeli novel adalah membazir. Daripada banyak-banyak novel yang saya baca, novel yang paling mendapat tempat di hati saya pada masa itu ialah DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU oleh Manaf Hamzah dari Singapura. Saya telah membuat salinan untuk novel ini sebagai simpanan tetapi sekarang salinan novel itu telah hilang kerana ada kawan yang meminjam dan tidak memulangkannya.Aktiviti membaca novel terpaksa saya kurangkan apabila saya bekerja, berkahwin dan mempunyai anak Saya mengalihkan minat saya kepada berkebun dan menanam bunga pula apabila saya mempunyai rumah sendiri. Kalaupun ada novel yang saya baca, ianya mengambil masa yang sangat lama untuk dihabiskan pembacaannya. Sehinggakan saya terpaksa mengulang sebuah novel hingga berkali-kali kerana terlupa watak dan jalan ceritanya.Namun begitu, minat membaca novel ini subur kembali setelah saya melahirkan anak yang ketiga pada bulan Februari 2006. Mungkin kerana gembira mendapat anak perempuan setelah 11 tahun menanti. Saya terlihat iklan novel Alaf 21 dalam majalah Mingguan Wanita yang saya baca. Saya sangat teruja untuk membeli. Saya berasakan masa saya banyak terluang pada waktu itu kerana saya tidak boleh berkebun dan juga menanam bunga. Maklumlah dalam pantang....Saya meminta simpati daripada suami untuk membeli novel yang saya hajati itu. Saya siap menggunting gambar iklan novel tersebut supaya senang untuk beliau membelinya. Novel yang sangat bermakna ini ialah KAU KEKASIHKU oleh Anis Ayuni. Inilah novel pertama yang saya beli walaupun saya telah membaca kesemua novel beliau sebelumnya. Bermula dari detik itulah saya menjadi seorang pengumpul novel pula apatah lagi minat ini disokong dan dibantu oleh suami untuk mendapatkannya. Masa-masa lapang saya sekarang dipenuhi kembali dengan aktiviti membaca novel terutamanya pada musim cuti persekolahan kerana saya seorang pendidik. Mengemas rumah, mengasuh anak, menanam dan menjaga pokok bunga saya upah orang untuk melakukannya maka saya mempunyai banyak masa untuk membaca novel-novel yang saya beli. Saya tidak perlu tergopoh-gopoh untuk menghabiskan sesebuah novel kerana ianya milik saya dan saya boleh mengambil sebanyak mana masa yang saya perlu.Sekarang saya mempunyai koleksi lebih kurang 150 buah novel. 100 daripadanya adalah novel Alaf 21. Saya tertarik dengan novel Alaf 21 kerana rekabentuk kulitnya yang menarik dan cantik untuk dibuat koleksi selain daripada ceritanya menarik. Satu perkara yang saya perasan ialah editor-editor Alaf 21 sangat berkemahiran mengedit novel dan berpengalaman. Tahniah saya ucapkan. Saya membeli novel berdasarkan nama besar penulisnya tidak kiralah dari penerbit mana sekalipun. Walaupun penulis terkenal tetapi karyanya tidak diedit dengan baik, maka novel tersebut terasa kurang garam dan gulanya. Terasa kurang menyengat.Dengan Alaf 21 saya berani membeli semua novel terbitannya walaupun penulis tiada nama atau penulis baru, sebab saya tahu ia tidak akan menghampakan. Saya pernah terfikir minat membaca novel ini bila akan berakhir. Sekarang umur saya dah menghampiri 40 tahun. Saya membaca novel hanya di rumah kerana saya tidak mahu orang tahu minat saya kerana sesetengah orang yang tidak berminat dengan membaca novel akan memberi pendapat membaca novel adalah satu hobi yang membuang waktu dan melalaikan. Betul ke?Koleksi novel saya, saya susun dengan cantik dan menarik di dalam bilik tidur. Saya tidak pamerkan kepada orang lain. Kawan-kawan boleh meminjam tetapi saya tidak memberi pinjam lebih daripada dua novel sekaligus, bukan apa takut di rak akan kelihatan kosong. Tak cantiklah...Pernah suatu hari semasa memilih novel di kedai buku saya disapa oleh seorang nenek yang memanggil saya sebagai adik. Terpinga-pinga saya seketika. Dia bertanyakan novel yang terkini di pasaran. Saya jadi teragak-agak kerana saya membayangkan suatu hari nanti adakah saya juga seperti itu?

Sabtu, 6 Disember 2008

EPAL HIJAU...


Kata penulisnya 'epal hijau' baik untuk kesihatan...
Ya ke? Epal hijau ni masam dan kulitnya keras so anak-anak aku kurang menggemarinya..maka kuranglah aku membelinya. Tapi kali ini apabila aku ingin membeli epal hijau, susahnya nak dapat...dah sebulan lebih mencari. Khabarnya pada bulan November berada di pasaran tapi tengoklah hampir pertengahan Disember baru sampai ke tangan aku. Itupun aku pesan kat kawan tolong belikan masa dia pergi Kuantan...TQ Gee.

Jumaat, 5 Disember 2008

KOMEN TENTANG NOVEL: AYLANA...

Novel yang paling mahal yang pernah aku beli, RM63 untuk 819 m/s. Aku minta tolong adik aku carikan di sekitar KL. Puas dia cari akhirnya dijumpai di MPH Mid Valley... Kalau baca sinopsis dalam internet(Pustaka Nasional, Singapura) tentang novel ini memang ia tidak akan membantu penjualannya jika sekiranya pembaca tidak pernah menatap hasil karya pengarang ini sebelumnya. Inilah sinopsisnya...

" TURKI, ABAD KE-18, KEMATIAN IBUBAPANYA MENJADI TITIK PERMULAAN PERGOLAKAN HIDUP AYLANA. DIA DIPAKSA BERKAHWIN DENGAN SEORANG BEKAS BANDUAN, RUZGAR, TETAPI MEREKA BERPISAH DENGAN KEADAAN PENUH MUSLIHAT. DI PULAU CAMAR MEREKA BERTEMU TETAPI SEKALI LAGI MEREKA DIANCAM. RUZGAR DIKHIANATI, SEDANGKAN AYLANA DICULIK PENJAHAT..."
Sinopsis inilah yang membuatkan rakan novel aku menolak dari membeli novel ini apabila aku tersilap order dengan MPH secara 'online'. Katanya dia tak nak beli bukan kerana harga tetapi sinopsisnya macam tak menarik. Macam kisah perang je...

Sinopsis di belakang novel lebih menarik

" AYLANA... Gadis jelita yang tiba-tiba dirundung malang dan cabaran setelah kematian ayah bondanya. Lantaran membuat dunianya kelam dan disulami oleh tipu daya. AYLANA... Diburu oleh seorang pemuda yang seliar helang di awan. Seorang banduan yang ingin menuntut haknya sebagai suami. Walau beliau harus ke hujung dunia sekalipun. AYLANA...Kisah pergolakan dua jiwa berhati batu yang cuba menidakkan perasaan masing-masing. Lantaran terpaksa menempuh pancaroba, kecurangan dan muslihat. Melainkan mereka mampu mengatasi semua dugaan itu, hasrat untuk bersatu dan bahagia mungkin hanya tinggal impian sahaja..."

Aku beli novel ini berdasarkan nama besar penulisnya. Aku yakin mesti ada 'something' yang istimewa tentangnya, kalau tidak masakan novel ini berjaya memenangi HADIAH SASTERA NOVEL 2007 dan harganya agak tinggi ...

Apabila selesai membaca aku termenung mengenangkan watak-watak yang diolah oleh pengarangnya Manaf Hamzah. Macamana beliau boleh mengolah cerita berlatarbelakangkan negara Turki di sekitar tahun 1765 Masihi. Sepanjang membacanya aku sentiasa dilanda perasaan yang berdebar-debar....suspen. Novel ini 18sx... peminat di bawah umur tu kena fikir 2xlah kalau nak baca...

Pandangan aku tentang novel ini : Setelah membaca novel ini, aku rasa tak ada mood untuk baca novel-novel lain yang aku rasa agak keremajaan. Berbaloilah rasanya dengan susah payah aku untuk mendapatkannya sebelum ini. Novel ini dibeli bukan sekadar untuk menambahkan koleksi malahan memberi aku kepuasan dalam membaca novel-novel yang lebih matang...