RSS

Isnin, 22 Disember 2008

APAKAH MEMBACA NOVEL MELALAIKAN?

Teks di bawah adalah emel aku kepada alaf21, telah disiarkan pada bulan September 2008. Telah memenangi sebuah Novel. Tatapilah dan hayatilah...

Saya minat membaca novel semenjak di bangku sekolah lagi. Novel-novel yang saya baca saya pinjam dari perpustakaan ataupun daripada kawan-kawan. Pada masa itu saya tidak minat membeli novel, kerana pada pendapat saya membeli novel adalah membazir. Daripada banyak-banyak novel yang saya baca, novel yang paling mendapat tempat di hati saya pada masa itu ialah DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU oleh Manaf Hamzah dari Singapura. Saya telah membuat salinan untuk novel ini sebagai simpanan tetapi sekarang salinan novel itu telah hilang kerana ada kawan yang meminjam dan tidak memulangkannya.Aktiviti membaca novel terpaksa saya kurangkan apabila saya bekerja, berkahwin dan mempunyai anak Saya mengalihkan minat saya kepada berkebun dan menanam bunga pula apabila saya mempunyai rumah sendiri. Kalaupun ada novel yang saya baca, ianya mengambil masa yang sangat lama untuk dihabiskan pembacaannya. Sehinggakan saya terpaksa mengulang sebuah novel hingga berkali-kali kerana terlupa watak dan jalan ceritanya.Namun begitu, minat membaca novel ini subur kembali setelah saya melahirkan anak yang ketiga pada bulan Februari 2006. Mungkin kerana gembira mendapat anak perempuan setelah 11 tahun menanti. Saya terlihat iklan novel Alaf 21 dalam majalah Mingguan Wanita yang saya baca. Saya sangat teruja untuk membeli. Saya berasakan masa saya banyak terluang pada waktu itu kerana saya tidak boleh berkebun dan juga menanam bunga. Maklumlah dalam pantang....Saya meminta simpati daripada suami untuk membeli novel yang saya hajati itu. Saya siap menggunting gambar iklan novel tersebut supaya senang untuk beliau membelinya. Novel yang sangat bermakna ini ialah KAU KEKASIHKU oleh Anis Ayuni. Inilah novel pertama yang saya beli walaupun saya telah membaca kesemua novel beliau sebelumnya. Bermula dari detik itulah saya menjadi seorang pengumpul novel pula apatah lagi minat ini disokong dan dibantu oleh suami untuk mendapatkannya. Masa-masa lapang saya sekarang dipenuhi kembali dengan aktiviti membaca novel terutamanya pada musim cuti persekolahan kerana saya seorang pendidik. Mengemas rumah, mengasuh anak, menanam dan menjaga pokok bunga saya upah orang untuk melakukannya maka saya mempunyai banyak masa untuk membaca novel-novel yang saya beli. Saya tidak perlu tergopoh-gopoh untuk menghabiskan sesebuah novel kerana ianya milik saya dan saya boleh mengambil sebanyak mana masa yang saya perlu.Sekarang saya mempunyai koleksi lebih kurang 150 buah novel. 100 daripadanya adalah novel Alaf 21. Saya tertarik dengan novel Alaf 21 kerana rekabentuk kulitnya yang menarik dan cantik untuk dibuat koleksi selain daripada ceritanya menarik. Satu perkara yang saya perasan ialah editor-editor Alaf 21 sangat berkemahiran mengedit novel dan berpengalaman. Tahniah saya ucapkan. Saya membeli novel berdasarkan nama besar penulisnya tidak kiralah dari penerbit mana sekalipun. Walaupun penulis terkenal tetapi karyanya tidak diedit dengan baik, maka novel tersebut terasa kurang garam dan gulanya. Terasa kurang menyengat.Dengan Alaf 21 saya berani membeli semua novel terbitannya walaupun penulis tiada nama atau penulis baru, sebab saya tahu ia tidak akan menghampakan. Saya pernah terfikir minat membaca novel ini bila akan berakhir. Sekarang umur saya dah menghampiri 40 tahun. Saya membaca novel hanya di rumah kerana saya tidak mahu orang tahu minat saya kerana sesetengah orang yang tidak berminat dengan membaca novel akan memberi pendapat membaca novel adalah satu hobi yang membuang waktu dan melalaikan. Betul ke?Koleksi novel saya, saya susun dengan cantik dan menarik di dalam bilik tidur. Saya tidak pamerkan kepada orang lain. Kawan-kawan boleh meminjam tetapi saya tidak memberi pinjam lebih daripada dua novel sekaligus, bukan apa takut di rak akan kelihatan kosong. Tak cantiklah...Pernah suatu hari semasa memilih novel di kedai buku saya disapa oleh seorang nenek yang memanggil saya sebagai adik. Terpinga-pinga saya seketika. Dia bertanyakan novel yang terkini di pasaran. Saya jadi teragak-agak kerana saya membayangkan suatu hari nanti adakah saya juga seperti itu?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Puan kerana mempunyai hobi membaca dan mengumpul novel. Tertarik dengan sistem accession number yang puan berikan. Cadangan saya untuk lebih unik puan boleh letakkan call number yang bersesuaian. Cthnya 93 AZH 2008 - AZH adalah 3 huruf awal pengarang. Bila buku baru sampai akan jadi katakan 120 AZH 2009 begitulah seterusnya dan nama awal itu kan berada dikedudukan bersebelahan kerana ianya unik. Idea Perpustakaan Rumah ini boleh dikembangkan. Namun apa yang puan buat sekarang ini memang cukup sempurna dan kalau ada komputer di rumah boleh buat pangkalan data simple melalui excel. Koleksi nama pengarang,call number, peminjaman dan sebagainya boleh di catatkan. Ohh inihanya pandangan peribadi saya.